SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC dan MBSA Kerjasama FatHopes Energy Melancarkan Kempen Cabaran 30 Hari Ramadan Kitar Semula Minyak Masak Terpakai

Mar 20, 2024 - FAS

SHAH ALAM, 20 Mac 2024 - Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama FatHopes Energy melancarkan kempen Cabaran 30 Hari Ramadan Kitar Semula Minyak Masak Terpakai (UCO) bagi menggalakkan kesedaran untuk mengitar semula minyak masak dikalangan rakyat Selangor serta penyokong pasukan ini. 

Pelancaran ini telah berlangsung di Bazar Stadium Seksyen 13 dan dihadiri Pengerusi Selangor FC, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, Pengarah Korporat & Perhubungan Awam, MBSA, Mohd Azhar Bin Mohd Sharif, Pegawai Penasihat Dasar Exco Kesihatan Awam & Alam Sekitar, Negeri Selangor, Sean Yi, Ketua Pegawai Eksekutif FatHopes Energy, Vinesh Sinha serta penampilan istimewa Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, serta dua pemain Gergasi Merah, Fazly Mazlan dan Khuzaimi Piee bagi memeriahkan majlis pelancaran kempen Cabaran 30 Hari Ramadan Kitar Semula Minyak Masak Terpakai (UCO).

Inisiatif ini dijalankan bagi menjayakan kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai demi memperkukuhkan masa depan masyarakat khususnya rakyat Selangor. Kempen ini telah pun bermula semenjak hari pertama Ramadan di tiga lokasi sekitar Shah Alam iaitu Bazar Seksyen 13, Bazar Seksyen 17 dan Bazar Seksyen 19 dengan kerjasama pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang beroperasi dari jam 4 petang hingga 8 malam. Kempen ini bagi mengalakkan rakyat Selangor untuk menghantar minyak masak terpakai minimum 1 Kilogram (kg) ke tiga lokasi  yang telah ditetapkan. Antara manfaat yang pihak Selangor FC dan FatHopes sediakan adalah seperti berikut:-

  • - 1kg-5kg akan menerima 1 tiket perlawanan home (tier 2) bersama baucar RM5 untuk barangan Selangor FC serta berpeluang untuk mengambil bahagian dalam Ramadan Rewards Day (cabutan bertuah) 

  • - 5.1kg-10kg pula akan menerima 1 tiket perlawanan home (tier 1) bersama baucar RM10 untuk barangan Selangor FC serta berpeluang untuk mengambil bahagian dalam Ramadan Rewards Day (cabutan bertuah)

  • - Pemenang cabutan bertuah akan diumumkan pada ke-7, 14, 21 dan 28 Ramadan sepanjang kempen ini berlangsung (hadiah disediakan oleh pihak Selangor FC)

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, “Kesedaran kitar semula minyak masak terpakai perlu dipupuk kerana pengitaran semula minyak masak merupakan antara kegiatan yang baik untuk alam sekitar dan ekonomi. Saya berharap dengan cara ini dapat membantu rakyat Selangor untuk memupuk gaya hidup sihat serta berjimat-cermat di masa hadapan. Selain itu, dengan inisiatif ini Selangor FC cuba untuk memberi galakkan yang lebih untuk mereka yang mengitar semula dengan memberi manfaat-manfaat yang menarik.”

Pihak pengurusan berharap dengan inisiatif ini, rakyat akan lebih celik dengan kempen Cabaran 30 Hari Ramadan Kitar Semula Minyak Masak Terpakai dan menggunakan platform kami untuk kitar semula minyak terpakai mereka bagi mengelakkan sebarang penyakit dan pencemaran berlaku.

Demi Kebanggaan!